May 9, 2010

Di manakah Allah



Rasulullah SAW pernah bertanya kepada jibril, "wahai Jibril! Pernahkah engkau melihat Allah? " Jawab jibril,"Bahawa di antara saya dan Allah ada 79 tutup yang terdiri daripada lapisan-lapisan cahaya. Bila terbuka tutup yang paling luar, maka akan terbakarlah aku memandangnya. Sedangkan antara engkau dan Allah ada 71 lapisan tutup dari cahaya. Bila terbuka tutup yang paling luar, engkau akan terbakar pula memandangnya." Begitulah sukar melihat wajah Allah seperti cerita Nabi Musa a.s. yang memohon untuk melihatnya. Namun sebaik sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Nabi Musa a.s pengsan. Betapa kuatnya gunung, hancur akhirnya apabila Allah menunjukkan dirinya. inikan pula manusia yang lemah. Namun bagi penghuni syurga al-Firdaus, mereka diberi keinstimewaan melihat wajah Allah dua kali sehari, iaitu pada waktu padi dan petang. Dan menurut buku " penawar bagi hati"penulis Al syeh Abdul Kadir bin Abdulmutalib yang aku baca di dalam syurga yang penuh nikmat itu, dengan air sungai yang mengalir sejuk, berjalan dikebun syurga dan mata melihatnya, tangan menanti untuk mencapai buah-buahan syurga dan minumannya. Maka sesungguhnya tiada yang lebih indah daripada memandang kepada zat Allah taala di dalam syurga yang tiada menyerupai kelakuan melihat yang baharu, tiada ada dalam negeri didunia, tiada ada dinegeri akhirat yang lebih besar daripada nikmat melihat Allah s.w.t. Dan hasil penerangan dari ustazah usrah yang aku dengar..penghuni syurga itu terdiri dari tingkatan masing-masing mengikut amalan di dunia. Jarak diantara satu tingkat dengan tingkat yang lain seumpama jarak antara langit dan bumi. Setiap tingkat syurga tersebut ada yang diberi peluang melihat zat Allah sehari sekali, dua kali sehari dan lain-lain mengikut tingkatan amalan masing-masing. Dan bagi penghuni Syurga itu, nikmat melihat zat Allah adalah nikmat yang paling tinggi yang tidak boleh ditandingi dengan nikmat-naikmat lain disyurga.


Wallahu'alam.

Seterusnya...aku ingin berkongsi berbicara tentang " dimanakah Allah" Untuk dikongsikan bersama..dan aku juga memetik maklumat ini dari buku kesayangan ku "Rindu menggamit dipintu Syuga karya Sabariah Md Udin". Bagi ku tajuk ini amat penting kerana membincangkanperihat akidah kepada Allah s.w.t. Kalau sekiranya akidah kita songsang dan sesat, maka amalan kita yang lain seperti sembahyang puasa, zakat dan mengerjakan haji itu tidak akan diterima Allah S.W.T. aku pun pastinya bukanlah orang yang layak untuk membicarakan tajuk ini, kerana itu aku dapat kongsikan disini apa yang aku baca dari buku tersebut. Dalam buku ini penerangan dimulakan dengan ayat Surah Thaaha ayat 5 yang bermaksud:

" Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam(istiwa) di atas Arsy". Apakah makna Arsy? Orang yang keliru yang hanya berpegang pada ayat-ayat al quran telah berkata " Allah 'duduk' di atas Arsy dengan zatnya"



Persoalannya yang ditimbulkan oleh ustaz ialah " jika Allah duduk beeerti Allah perlu pada Arsy. Jadi jika Allah perlu pada Arsy, maka Arsy yang lebih besar. Jika Arsy lebih besar, maka jadilah Arsy besar bukannya Allah besar.Jika begitu, sebelum Arsy diciptakan dimana pula kedudukan Allah?



Ustaz menyambung lagi, " Maha Suci Allah, allah tidak duduk di atas Arsy. Maha Suci Allah dari sifat kelemahan. Jika Allah mempunyai sifat lemah sudah tentu dia tidak layak menjadi tuhan"



Kita perlu faham dalam Bahasa Arab Istawa membawa lima maksud iaitu menguasai, duduk bersila, menuju, cukup umur, dan berdiri tegak. Jada ambillah makna yang sesuai dengan kesedaran Allah yang suci daripada sifat makhluk. Maka di sini makna yang sesuai ialah "menguasai". Menguasai adalah maksud yang sesuai dengan keagungan Allah daripada menyerupai makhluk.



Apabila ditanya kepada ulama Tafwidh, mereka menjawab, "Aku tidak tahu apa yang Allah kehendaki dengan ayat ini."



Seperti mana kata Imam Malik r.a. iaitu seorang ulama salaf apabila ditanya, bagaimana Allah "Istawa"?



Imam Malik r.a. menjawab:

"Pertamanya Istawa" itu tidak majhul. Dalam Bahasa Arab kita faham mempunyai banyak makna. Maka tidak masuk akal apabila kita bertanya "bagaimana Allah Istawa?" Sebab ilmu kita tidak sampai kepada apa yang ada pada zat Allah sedangkan hakikat diri kita sendiri pun kita tidak faham. Contohnya: kita percaya kepada roh. Di mana roh pada diri kita? Di kaki, di kepala, di badan atau di mana? Soalan kepada diri sendiri pun kita tidak ada jawapan, jadi jangan tanya 'bagaimana' tentang perihal Allah."



Kedua, katanya lagi , tidak boleh diperkatakan daripada perihal Allah "bagamana"?Ini menunjukkan kita bersikap biadap.



Kesimpulannya ulama salaf tidak banyak bercakap dan tidak banyak bercerita tentang sifat-sifat Allah yang diceritakan dalam ayat-ayat mutashabihat.



Apa pula kata ualama khalaf iaitu ulama khalaf iaitu ulama yang terkemudian? Mereka berkata bahawa Allah Menguasai lagi Memerintah di atas Arsynya. Ini bermakna Allah memerintah segala -segalanya termasuk Arsy juga makhluk Allah yang paling besar. Jika makhluk yang paling besar pun diperintah Allah, apatah lagi makhluk-makhluk ciptaannya yang lain. Mungkin anda tertanya-tanya, mengapa kita perlu mentafsir ayat-ayat al-quran dan al-hadis? Mengapa kita perlu ulama mentafsirnya? Ustaz terus memberikan contoh supaya kami para jemaah lebih memahami. " Adakah kamu beriman dengan apa yang ada di sama'(langit)?" Apakah maksud perkataan sama' dalam ayat di atas? Dalam bahasa arab, pertama ia bermaksud langit dan yang kedua darjat yang tinggi. Ahli Sunnah Wal Jamaah mengatakan Allah SWT berdarjat tinggi lagi agung manakala golongan keliru mengatakan Allah itu duduk di atas langit. Golongan keliru mengatakan Allah itu duduk di atas langit. Golongan keliru yang mengatakan Allah duduk di langit sebenarnya mengatakan Allah itu bertempat. Jadi, jika bertempat, maka Allah terkongkong oleh masa dan tempat. Maha Suci Allah daripada mempunyai sifat terkongkong.

Jika mengatakan Allah dilangit, kita telah menetapkan bahawa Allah telah menyerap dan bersatu dengan makhluk. Bukankah langit itu ciptaan Allah, jika Allah duduk di atas langit, jadi Allah telah menyerap masuk ke dalam langit. Ia kufur jika kita telah menetapkan Allah duduk di langit kerana kita telah menetapkan kebinasaan bagi Allah kerana langit akan digulung seperti lembaran buku pada hari kiamat kelak. Jika Allah dilangit, Allah akan mati, maka mustahil Allah bersifat binasa.

Dalam surah al-Takwir Allah telah gambarkan kejadian hari kiamat di mana di antaranya matahari digulung, bintang-bintang berjatuhan dan apabila langit dilenyapkan.

Bagaimana golongan yang keliru ini membuat tafsiran sebegini? Ini adalah kerana mereka berpegang semata-mata pada zahir hadis. Adakah mereka akan menafsirkan bahawa Allah juga akan binasa apabila langit sudah digulung?

Kadang-kadang timbul percanggahan dari segi riwayat, maka riwayat yang kuat akan diterima. Jika ada percanggahan, tidak bolehlah dikeluarkan hukum semata-mata ianya dari hadis. Contohnya Nabi SAW dikatakan memegang kaki Aiysah dan terus bersolat. Maka Imam Syafie menolak hukum yang ada didalam hadis ini kerana bersentuhan kulit lelaki dan perempuan dalam Islam hukumnya membatalkan wuduk.

Bagaimana dikatakan orang yang mentafsir ayat-ayat mutashabihat ini boleh menjadi syirik dan kafir sedangkan kita disuruh berpegang kepada ai-Quran dan al-hadis sebagai panduan?

Sebab itulah wajib bagi kita berpandu kepada ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam membuat penafsiran ayat-ayat tersebut. kita hanya boleh membuat penafsiran sendiri sekiranya kita betul-betul layak untuk berbuat demikian. Pandai berbahasa Arab sahaja belum melayakkan kita membuat tafsiran sendiri. Kita boleh menjadi sesat dan syirik jika mentafsir tanpa ilmu yang mencukupi.

Kesimpulannya, kita wajib mengikut pegangan Ahli sunnah Wal Jamaah dalam memahami ayat-ayat al-Quran dan hadis. Kita boleh menerima mana-mana pendapat sama ada pendapat tafwidh ataupun ta'wil dan janganlah pula kita mencipta pendapat kita sendiri yang sesat lagi menyesatkan. Namun yang lebih afdal ialah berpegang kepada ulama khalaf, agar generasi kini dan terkemudian tidak akan membuat penafsiran sendiri terhadap ayat-ayat al-quran dan hadis yang boleh menyebabkan syirik dan dosa besar.

Maka tajuk hari ini, " Dimanakah Allah?, sudah terjawab. Allah bersifat maujud tanpa tempat. Allah tidak duduk di langit, tidak duduk di bumi, tidak di barat dan tidak di timur. Maha suci Allah daripada menyerupai manusia.

Sumber: Penawar bagi hati penulis Al syeh Abdul Kadir bin Abdulmutalib
Menggamit Ke Pintu Syuga penulis Sabariah Md Udin
Usrah bersama Ustazah di STPJ.


flower Pictures, Images and Photos